Sunday, November 1, 2015

Mabit di Mina

Mina adalah lokasi terakhir dalam sesi masyair selepas padang Arafah dan Muzdalifah. Bila dah selesai semua ibadah haji di Mina, kami akan balik semula ke Mekah untuk sambung melunaskan rukun-rukun haji yang seterusnya.

Bermabit di Mina adalah salah satu dari wajib haji. Bermabit maksudnya bermalam atau berada di Mina sehingga melepasi waktu tengah malam). Wajib bermalam di Mina pada Hari Tasyrik 1 (11 Zulhijjah), Hari Tasyrik 2 (12 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik 3 (13 Zulhijjah).

Tarikh Hari Aktiviti / Status / Ibadah
10 Zulhijjah Hari Nahar
  • Masuk Mina
  • Melontar Jamrah Aqabah
  • Bergunting / bercukur
  • Tahallul Awal
  • 11 Zulhijjah Hari Tasyrik
  • Mabit di Mina
  • Melontar ketiga-tiga jamrah #1
  • 12 Zulhijjah Hari Tasyrik
  • Mabit di Mina
  • Melontar ketiga-tiga jamrah #2
  • Nafar Awal (jika mahu)
  • 13 Zulhijjah Hari Tasyrik
  • Mabit di Mina
  • Melontar ketiga-tiga jamrah #3
  • Nafar Akhir
  • Balik ke Mekah
  • Semasa berada di Mudzalifah pun kami sudah nampak khemah-khemah Mina di seberang jalan. Jadi kami ingat hanya perlu jalan kaki masuk ke khemah di Mina. Rupa-rupanya kena naik bas. Jauh lagi tempat kami tu. Rupa-rupanya Mina ialah kawasan yang luas iaitu seluas 8.18 km persegi.

    Jarak Mina dari Masjidil Haram ialah 7km jika melalui jalan biasa dan 4km sahaja jika melalui terowong. Mina terletak antara dua bukit iaitu Jabal Sobin dan Jabal Thabir. Mina masih tanah haram. Dinamakan Mina kerana banyak darah mengalir di situ iaitu darah binatang korban. Ada pusat penyembelihan di Mina. Semua binatang korban disembelih di situ. Ada Jabal Kurban, iaitu tempat Nabi Ibrahim a.s mahu menyembelih anaknya, Nabi Ismail a's.

    Ada banyak perkara lain yang dlakukan di Mina semasa kami melunaskan wajib haji bermabit di Mina pada Hari-hari Tasyrik iaitu:

    • meneruskan pantang larang ihram (yang telah bermula sejak kami berniat ihram hotel di Mekah)
    • melontar Jamrah al-Kubra (Jamrah Aqabah, tiang paling besar)
    • sambut Hari Raya Haji (pada 10 Zulhjjah)
    • bercukur dan bergunting rambut setelah selesai melontar Jamrah al-Kubra
    • mencapai Tahallul Awal (selepas bergunting)
    • melontar ketiga-tiga jamrah (Sughra, Wusta, Kubra)
    • buat Nafar Awal (balik terus ke Mekah selepas melontar dua kali) jika mahu
    • buat Nafar Akhir iaitu lengkapkan bermabit selama tiha hari dan melontar ketga-tiga jamrah sebanyak tiga kali
    • sembelih binatang kurban di pusat penyembelihan
    • berjalan kaki keluar masuk terowong

    Perkampungan Mina

    Tempat kami bermalam di Mina ialah khemah putih kalis api. Ada 160,000 buah khemah putih seumpama itu di Mina. Sama sahaja rupa dia. Khemah-khemah ni ada aircond. Kawasan perkhemahan di Mina terbahagi kepada 3 iaitu paling dekat Mina Jamrah (tempat kami), lepas tu Mina Muassim dan paling jauh Mina Muhassir.

    Kawasan Maktab 94 terletak di pangkal terowong. Dari pagar khemah kami sudah boleh nampak pangkal terowong. Syukur alhamdulillah, keluar saja dari khemah, buat U-turn sikit, terus masuk terowong. Masa balik dari melontar pun sama. Keluar saja dari terowong terus sampai ke pintu masuk perkhemahan Maktab 94.


    Pintu gerbang depan, pintu masuk utama ke Maktab 94.


    Pintu belakang perkhemahan Maktab 94. Lebih kurang sama pintu depan dengan pintu belakang.


    Dekat dengan pintu keluar terowong.

    Semasa sesi Taklimat Masyair di Mekah kami diberitahu yang kami akan dibahagikan kepada 11 orang dalam satu khemah. Aku dah terbayang khemah putih kecil ada aircond yang ada 11 orang. Mesti selesa berbanding dengan khemah besar macam khemah pelarian di Arafah.

    Rupa-rupanya sangkaanku meleset belaka. Khemah kami ni besar. Memang besar. Ada banyak tiang. Lantai karpet merah macam di Arafah. Ya ada aircond macam aircond kilang yang centralized dan takde remote control. Masa aku masuk aku tengok ada digantung senarai nama di beberapa tempat.

    Beratus orang dalam khemah

    Rupa-rupanya setiap satu senarai nama tu ialah 'satu khemah'. Ada 11 nama dalam setiap senarai. Dalam khemah besar kami tu, ada 14 senarai. Jadi kami semua berjumlah 154 orang dalam satu khemah besar. Aku rasa dinding-dinding pemisah khemah tu dah dicabut. Jadinya semua unit khemah bercantum menjadi satu khemah besar. Tak kisahlah. Ini semua bukan masalah. Cumanya info yang diberikan adalah tidak tepat.

    Kami pun susun-susun beg masing-masing dan bentangkan tikar hijau Tabung Haji kami sebagai penanda 'sempadan' wilayah badan kami. Masa taklimat di Mekah petugas Tabung Haji siap tunjukkan rajah di slide tentang lakaran susunan tidur iaitu kepala di dinding dan kaki bertemu kaki. Tapi macam di Arafah juga, semua taklimat susunan tidur tu memang tak applicable. Ini kerana ada petak 11 orang yang tak ada dinding. Jadi kami pun tidurlah ikut gaya bebas. Kepala kena kaki orang, kepala kena kepala, kepala kena perut. Pun, tak kisahlah semua tu. Tiga malam aje bukannya lama.

    Charge handphone 24 jam

    Aku kira ada lima soket elektrik dua pin. Arab sama macam Indonesia, pakai soket dua pin. So bergilir-gilirlah kami yang 100 orang lebih ni mengecas handphone. Di sini pun kena sabar jugak, sebab kena tunggu turn macam beratur nak masuk toilet. Masuk toilet lagi cepat dari tunggu line clear untuk cas phone. Tambahan pula ramai yang cas telefon dia dan dibiarkan di situ sampai setengah hari. Kalau orang tu cas powerbank dia, lagi ler lama, sebab nak cas powerbank memang slow dan ambil masa. Actually di sini pun kena latih nilai kesabaran.

    Semua jenis solat dalam khemah sahaja

    Tiada surau di Mina. Entahlah mungkin ada tapi aku pasti tak ada. Kami semua sembahyang dalam khemah. So khemah tu kejap jadi tempat lepak, kejap jadi tempat tidur, kejap jadi surau. Kiblat pula 45 darjah menghala ke sudut. Jadi bila buat saf, memang penuh bagasi dan barang-barang lain di depan kita. Pandai-pandailah adjust diri dan adjust bagasi. Saf pun jarang boleh lurus. Selalu bengkok sikit, sebab nak mengelakkan bagasi dan kerana lantai tak rata. Pun ini semua masalah kecil aje.

    Sama padat macam dalam khemah di Arafah

    Ada yang bawa tali dan buat penyidai dalam khemah. Tidak ada tiang yang selamat. Semua tiang akan kena ikat dengan tali so ramai-ramai pakat menumpang sidai baju dan kain ihram (termasuk ler aku). Kadang-kadang keliru mana satu kain ihram engkau mana satu kain ihram aku. Tapi aku rasa bernasib baik sebab semua kami di situ macam sporting dan bertolak-ansur serta tidak berkira sangat. Suasana memang harmoni.

    Bagasi kami sumbangan Maybank yang berwarna kuning ni dah jadi bantal. Kain ihram jadi cadar dan selimut. Tikar plastik hijau Tabung Haji tu jadi 'wilayah' individu. Lebar sikit jer dari saiz keranda, tapi panjang sama. Dalam 'ruangan' terhad itulah kami baring, duduk, lepak, sembang-sembang dengan orang kiri-kanan, termenung menatap handphone, mengaji, dan sebagainya.

    Oleh kerana arah kiblat kami dalam khemah tu ialah 45 darjah iaitu mengadap sudut, jadi bila ada yang nak sembahyang sunat, dia akan 'makan' kawasan kawan sebelah. Jadi kawan sebelah tu kena beri laluan dan menumpang sikit 'tanah jajahan' orang lain yang lebar sikit dari keranda tu. Pun di sini aku tengok semua sporting dan beralah tak kira yang tua atau yang muda.

    Sebelah kedai runcit yang riuh-rendah

    Unit khemah aku hujung sekali. Berjiran dengan kedai runcit (kedai serbaguna) kat depan jalan. Khemah tu tiada syiling. Malah aku tengok, ruang tidur kami dengan ruang kedai runcit tu kongsi bumbung khemah yang sama. Di bahagian atas dinding pemisah tu terbuka sahaja. Hanya ada jaring-jaring besi.

    Memang riuh-rendah dengan suara orang ramai membeli itu ini. Macam tidur sebelah pasar. Apa sahaja bau yang ada dari kedai tu akan masuk ke khemah kami.

    Pekedai tu gunakan ruang atas dekat dinding tu sebagai stor barangan dia. Dia letak kotak-kotak barang dia atas saluran aircond. Jadi masa aku baring, aku mengadap kotak-kotak megi, kotak snacks, pek-pek air minuman botol.

    Sekali-sekala anak-anak tokey kedai tu panjat dinding tu untuk ambil barangan atau susun barangan. Dua adik beradik tu suka tengok-tengok kami dari jaring-jaring tu sambil gelak-gelak. Aku tak pasti, sama ada aku yang tengok dia dalam jaring macam dalam zoo, atau depa yang tengok kami ramai-ramai ni dalam kandang macam dalam zoo.

    Tak payah tunggu lama, dah ada jemaah yang mula panggil-panggil adik dua beradik tu dan beli air oren. Lama-lama jaring atas dinding tu dah jadi macam 'kedai runcit atas dinding'. Semua pakat beli air oren (paling popular). Tapi ada syaratnya. Sediakan duit cukup-cukup (yang tak perlu tunggu baki) dan ambil barang dulu baru bayar. Kalau nak beli, kena teriak-teriak nama depa, then tunjuk-tunjuk botol air oren, then buat isyarat jari - nak satu atau dua atau tiga. Meriah jugak.

    Makan dan makan-makan di Mina

    Makanan masih disediakan oleh muassasah Arab Saudi. Aku rasa tender masak masih dapat pada tokey yang sama. Sebab masakannya sama - nasi, daging, ayam, dan sayur jeruk yang masin. Makan tengah hari ada buah - pisang, epal, limau. Minuman masih sama - air botol. Cuma berbeza dengan Arafah, air botol dia tak panas.

    Aku perhatikan pekerja yang bawa dan hantar makanan dan kutip sampah-sampah tu ialah kumpulan budak hitam yang sama yang bersama kami di Arafah. Supervisor dia pun sama orang yang sama.


    Menu sendiri. Roti canai beli, sup (kuah dia), air teh tarik buatan sendiri. Mug tu diberi percuma pada semua orang masa di Arafah.

    Lorong-lorong dan khemah Mina

    Di kawasan perkhemahan Maktab 94 ada khemah petugas Tabung Haji, ada klinik, dan khemah lelaki dan perempuan. Aku difahamkan, khemah wanita lagi padat hingga ada yang kena bengkokkan kaki masa tidur - ruang tak muat, kalau luruskan kaki kena badan orang.

    Kalau pusing kanan akan sampai ke pagar tepi jalan raya. kalau pusing kiri, akan jumpa simpang empat 'main road' atau lorang utama. Aku agak je tu lorong utama. Sebab lorong tu boleh terus sampai ke gerbang pintu depan.

    Di kiri-kanan 'simpang empat' tu tadi ada kumpulan jemaah muasassah maktab lain. Mungkin juga jemaah swasta. Di sepanjang lorong di gantung banyak signage gambar-gambar alat elektrik (simbol Maktab 94), alat tulis (entah maktab berapa) dan simbol-simbol lain yang aku tak ingat. Ada warna cokelat (warna Maktab 94), warna kuning, warna hijau, warna magenta.


    Lorong khemah kami. Belah kanan tu khemah lelaki, belah kiri khemah perempuan. Lantai merah lorong tu ialah karpet sebenarnya.

    Dari 'simpang empat' tadi kalau belok kiri boleh terus ke pintu gerbang utama. Sebelum sampai situ akan jumpa banyak lagi lorong-lorong dan sebelum pintu gerbang utama tadi ada tempat masak (company yang masak makanan pek kami).

    Di situ ada paip-paip air panas 24 jam. Memang selalu orang beratur panjang untuk ambil air panas untuk buat air atau penaskan megi cawan. Masing-masing datang beratur panjang dengan mug masing-masing, cawan megi (maggie cup), malah yang bawa cerek teruspun ada.

    Paip air panas 24 jam

    Ada sekali tu masa aku turut beratur nak ambil air panas aku tengok depan aku perempuan tua isi air panas yang panas berwap-wap tu dalam botol air mineral. Masyaallah meliut-liut botol tu dan tak jadi rupa botol lagi dah sampai dia tak boleh pegang sebab dia mengempis dan kena letak atas jalan. Tapi makcik tu isi lagi satu botol. Tapi dia isi sikit sahaja sebab botol tu dah berubah bentuk.

    Aku nak bagitau je makcik bahaya minum air ni (sebab ada tindakbalas kimia air panas dengan plastik botol) dan bahaya sebab botol tu boleh bocor. Tapi entah aku tiba-tiba jadi bisu dan tak jumpa apa kata-kata yang sesuai untuk bagi makcik tu paham. Mungkin aku terlalu hairan apa yang aku tengok, atau aku terlalu kesian tengok dia masa tu, atau mungkin aku tak nak dia malu. Aku jadi bodo seketika.

    Berhampiran pintu gerbang laluan masuk utama ada tempat masak. Lantai dia karpet warna merah yang sentiasa basah. Di situ ada kipas besar yang ada keluar semburan wap air tu, bertiup menghala ke arah orang ramai yang lalu di laluan tu. Ada dua peti ais berkaca (macam peti ais jual air botol di restoran) yang ada air botol dalam tu. Bila kosong saja, ada pekerja isi balik peti ais tu sampai penuh. Orang ramai boleh ambil percuma sasaja.

    Tandas pelbagai guna

    Lokasi tandas lebih teratur atau lebih senang dicari berbanding dengan tandas-tandas di Arafah. Dari 'simpang empat' depan lorong khemah kami tadi, kalau belok kanan, akan jumpa bangunan tandas satu di sebelah kiri dan saru lagi di sebelah kanan. Tandas di sebelah kiri untuk jemaah haji pakej swasta Andalusia. Tandas yang sebelah kanan untuk kami jemaah muassasah.

    Kawasan tandas tu menurun ke bawah, sampai pagar sebelah jalan raya. Kalau dilepaskan bola akan terus bergolek sampai ke pagar jalan raya. Ada pintu kecil di pagar tu. Kami selalu gunakan pintu kecil tu untuk keluar pergi ke kedai yang ada di sepanjang tepi jalan tu. Dari kawasan tandas boleh nampak jemaah haji lain berjalan pergi ke terowong atau balik dari terowong. Sambil beratur nak masuk tandas boleh lihat pemandangan orang keluar masuk terowong.

    Kadang-kadang ada juga jemaah negara lain yang baru keluar terowong yang terus masuk ke tempat tandas kami guna pintu kecil tadi. Kadang-kadang perempuan pun ada. Jadi makin panjang kami beratur. Jenuh jugak. Dah ler tandas terhad. Sepatutnya tak boleh. Tapi, mungkin sebab dah 5km lebih kurang mereka berjalan (keluar masuk terowong) maka tempat pertama yang mereka cari lepas keluar terowong ialah tandas. Ada juga disadvantage perkampungan di pangkal terowong ni.

    Pada hari kedua baru aku tengok ada mamat Arab sorang jaga kat pintu tu sambil hisap rokok dan bergaya samseng. Dia bagi jemaah Malaysia je keluar masuk ikut pintu tu. Orang lain semua dia tahan. "Malezi! Malezi!" (Malaysia! Malaysia!) dia jerit-jerit bila ada jemaah bangsa lain nak masuk pintu tu nak pergi tandas. Ada sekali dari luar (aku beli teh) aku nampak perempuan mana entah macam perempuan Turki merayu-rayu nak masuk nak pergi tandas, mamat tu tetap menjerit "Malezi! Malezi!" Tegas sungguh mamat tu. Tak tahu siapa yang assign dia kat situ.


    Pintu kecemasan. Pandangan dari tandas lelaki kelihatan jemaah haji keluar terowong balik dari melontar.

    Tandas dia, sama macam tandas di Arafah. Cuma jumlah bilik-bilik tandas lebih banyak. Bentuk dalam dia sama. Ada lubang jamban, ada paip air kat tepi, atau shower kat atas, tiada pam jamban. Mandi, buang air semua di situ. Ni bukan 'two-in-one' ni tapi dah jadi 'all-in-one'.

    First time aku nak mandi kat situ, aku sangkut ihram kat pintu (sebagai tanda ada orang tengah guna), letak cermin mata kat tepi dinding, adjust betul-betul jangan bagi jatuh, sangkut tali pinggang, then dush.. sabun aku terlepas dari tengan jatuh masuk dalam lubang jamban. Lenyap sekelip mata tanpa pesan. Termenung kaku aku dibuatnya. Maka mandilah aku tanpa sabun.

    Ada satu perkara yang aku perasan tentang lubang jamban ni, sama macam di Arafah juga. Memang tak ada pam untuk jirus najis. Bila buang air, najis terus masuk dalam lubang. Tapi aku tak pernah terhidu bau najis. Mungkin tandas tu guna sistem pembentungan yang guna bahan kimia, entahlah.

    Masa aku baring-masing dalam khemah, aku terdengar perbualan dua orang jemaah yang baring-baring dekat dengan aku (khemah takde perabot, apa nak buat, baring je ler). Dia cerita kat kawan dia tu yang ada barang dia jatuh masuk lubang tu (aku tak sure apa yang jatuh, sebab bising sangat khemah kami sebelah kedai runcit dan sebelah jalan, tapi for sure barang tu berharga), so dia seluk tangan dia sampai ke ketiak untuk ambil barang tu tapi 'tak jumpa dasar' lubang jamban tu. Aku jenuh terpikir, dalamnya lubang jamban tu.

    Beratur panjang, tapi tak sesengsara seperti yang digambarkan

    Aku ada baca blog-blog catatan orang pergi haji. Hampir semua kata depa tahan berak, tak dapat mandi dan sebagainya. Malah ada yang kata dia kena sembelit sebab tahan berak. Bukan sengaja tahan, tapi sebab panjang sangat beratur nak masuk jamban dan orang di luar marah-marah kalau lama sangat. Bergaduh masa beratur panjang tu jadi kebiasaan.

    Tapi aku mungkin bernasib baik. Atau muzim haji kami ni agak berbeza. Berbeza apa, aku tak pasti. Di Arafah aku dapat mandi dua kali dan buang air besar dua kali juga. Buang air kecil tu lagilah takde masalah. Belum sampai darurat untuk kencing dalam botol (tapi aku tengok ada orang buat di Mina, sebab orang que panjang dan dia tak tahan).

    Mandi hari-hari tak ada masalah

    Di Mina pun aku dapat mandi dan buang air besar hari-hari. Ye tuan-tuan dan puan-puan, hari-hari. Mungkin timing aku kena. Waktu pagi, tandas kurang digunakan. Aku tak faham kenapa dan tak sempat dan buat teori sampai hari ni. Tapi ada waktu tertentu memang kena beratur panjang. Malah ada yang guna hos bomba untuk gosok gigi dan ambil air sembahyang.

    Kadang-kadang jemaah perempuan datang dari belah belakang bilik tandas tu (tandas lelaki depan, tandas perempuan belakang) dan beratur sama di bilik jamban pertama tandas lelaki. Lepas tu datang sorang lagi lady. Lepas tu tambah sorang lagi. Lama-lama depa 'tawan' bilik jamban kedua pulak. Haru. Memang haru. Mungkin sebab perempuan ramai. Tapi aku rasa sungguh tak selesa beratur nak masuk jamban dengan peremuan.

    Sesat di lorong perkara biasa

    Layout perkhemahan Mina yang kami tinggal ni berbentuk grid. Jadi pemandangan keliling kiri-kanan lebih kurang sama. Memang bleh keliru.

    Aku tengok ramai jugak pakcik makcik jemaah pakej lain atau maktab lain yang sesat di kawasan kami. Ada pakcik yang sesat sambil pakai towel (dia baru balik dari tandas). Punca sesat ialah kerana lorong-lorong dan khemah semua nampak sama sahaja. Memang sama pun. Masalahnya bila tanya maktab mana, depa tak sure. Ada yang tak pakai tag, dan dia lupa warna tali tag (warna simbol maktab). Ada yang tak tahu pun gambar-gambar (simbol maktab) tu gambar apa. Memang mengharukan.

    Kedai beli itu-ini

    Bila keluar pintu pagar belakang Maktab 94, toleh kiri nampak kedai, toleh kanan pun nampak kedai. Pandang depan nampak jalan raya satu hala keluar dari terowong, sebelah dia pula jalan raya satu hala masuk ke terowong. Sebelah jalan raya tu ialah perkampungan jemaah Indonesia.

    Kedai-kedai runcit sementera tu (tiga hari sahaja) ada jual air panas (teh susu 3 Riyal, nescafe 4 Riyal), air kotak, air botol, meggi cup, roti canai (atau lebih kurang macam tu), buah-buahan, payung (ramai pakai payung masuk terowong), dan macam-macam lagilah. Malah aku pasti barangan yang dijual di lima-enam kedai tu ialah barangan yang paling dikehendaki oleh jemaah haji.

    Sepanjang masa di situ suasana meriah dan 'hidup' bagai pasar malam. Pada sepanjang masa orang kaluar dari terowong bila habis melontar jadi mereka singgah di situ untuk minum air dari mesin water-cooler yang banyak tersusun di tepi jalan, atau beli air di situ, dan ramai juga yang makan di situ. Meriah dan pelbagai rupa bangsa dan warna kulit ada di situ pada sepanjang masa. So berbagai-bagai gelagat dan perangai boleh dilihat di situ.


    Kedai runcit serbaneka. Beli air panas, duduk di tembok minum di situ.

    Peniaga kaki lima pulak jangan cakaplah. Datang dan pergi bagai angin lalu membawa macam-macam jenis barangan (yang banyaknya ialah pakaian). Peminta sedekah pun ramai. Aku tengok rupa-rupa peminta sedekah tu (yang berkulit gelap) lebih kurang sama je dengan peminta sedekah yang aku nampak di Mekah dan di terowong balik dari kompleks jamrah. Sampai dekat terowong pun mereka ada.

    Macam tulah kehidupan sementara kami di Mina selama empat hari, untuk mengharungi masa untuk mendapatkan wajib haji bermabit di Mina

    .

    No comments:

    Post a Comment