Keputusan penuh pemilihan Umno 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali (gambar) hari ini berkata parti Melayu itu akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat sebarang permasalahan yang timbul sepanjang proses pemilihan baru-baru ini.

Tajol Rosli berkata demikian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa pengumuman penuh keputusan Ahli Majlis Tertinggi yang berlangsung semalam.

Jawatankuasa berkenaan yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Raof Yusoh jelasnya akan mengambil tindakan susulan sekiranya permasalahan berkenaan mempunyai asas kukuh.

"Selepas pemilihan ini banyak masalah berkenaan pemilihan akan timbul, masalah yang timbul di cawangan dan bahagian sebagainya, pihak Majlis Tertinggi telah menubuhkan satu jawatan kuasa khas yang akan melihat kepada semua masalah yang timbul," katanya selepas selesai pengumuman keputusan berkenaan dibuat pada jam 6 petang tadi. - 20 Oktober, 2013.