HOTEL GANTI KHEMAH DI MINA?

Antara bangunan hotel yang sedang dibina di Mina.

MAKKAH : Kerajaan Arab Saudi sedang membina beberapa hotel lima tingkat di Mina untuk menempatkan jemaah haji bagi menggantikan penempatan khemah. 

Langkah percubaan penempatan jemaah di hotel itu dijangka bermula bagi musim haji 1445 hijrah ini. 

Tindakan itu dilakukan sebagai langkah besar Arab Saudi dalam memberi keselesaan dan meningkatkan kemudahan kepada jemaah haji.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, sekiranya konsep penginapan di Mina ini berjaya, ia berkemungkinan akan diperluaskan di lokasi sekitar operasi masyair, dan Tabung Haji (TH) ujarnya, perlu mengambil peluang berkenaan bagi keselesaan jemaah haji negara.

‘”Insyaallah saya yakin dan TH juga yakin apabila hotel-hotel ini diperluaskan lagi maka ia akan memberikan kebaikan kepada jemaah haji Malaysia pada masa-masa akan datang,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada Berita Alhijrah di Makkah selepas melakukan lawatan ke Mina bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji, termasuk pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman baru-baru ini.

Terdahulu sesi taklimat pada lawatan ini disampaikan Syed Saleh.

“‘Ada projek baru yang sedang dilaksana Kerajaan Arab Saudi di mana mereka telah membina bangunan-bangunan (hotel) berbentuk tempat penginapan untuk jemaah haji semasa mereka berada di Mina,” kata Syed Saleh.

Difahamkan bagi fasa pertama ini, hotel berkenaan akan menempatkan  jemaah furada dan ia dibina berhampiran dengan lokasi Jamarat iaitu lokasi jemaah haji melemparkan batu-batu kecil di tiga dinding, simbolik kepada ibadah merejam syaitan.

‘”Pendaftaran ke hotel juga dilaporkan sudah dibuka untuk jemaah haji luar negara,” katanya.

Mina merupakan kawasan lembah padang pasir yang terletak sekitar 5 kilometer dari Bandar Makkah.

Pada musim haji, jemaah dari seluruh dunia akan bermalam pada malam 8,11 dan 12 Zulhijjah dan kadang-kadang pada malam 13 Zulhijjah.

Dalam pada itu, setakat ini pihak berkuasa Arab Saudi telah melesenkan 166 bangunan di Bandar Makkah untuk menempatkan jemaah haji bagi operasi haji 1445H.

Pelesenan itu diberikan Jawatankuasa Perumahan Haji di Makkah yang akan sentiasa menerima permohonan pelesenan bangunan sehingga bulan ini sebagai persiapan awal untuk musim haji. — AlHijrah Online

Leave a Reply