Perayaan Tahun Baru Cina

Sambutan Tahun Baru Cina

  Sejarah Tahun Baru Cina

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Perayaan yang bersamaan dengan  permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

 Malam Tahun Baru Cina

Pada malam Tahun Baru , kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi  turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua,  malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan tahun baru bermula.

Tarian Singa memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.

 Chap Goh Mei

Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Perayaan tersebut jatuh pada malam 15 hari bulan, bulan pertama Imlek China. Hari itu juga disebut “Pesta Lampu”, kerana lampu-lampu dinyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan itu.

Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa memasang lampu-lampu pada Hari Capgome? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Maharaja pada ketika itu, maharaja Liu Heng berjaya mematahkan gerakan penderhakaan. Hari itu kebetulan 15 hari bulan bulan pertama Imlek Cina. Untuk merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk lampu dipasang di tepi-tepi jalan pada hari itu. Adat istiadat tersebut diamalkan sehingga kini.

Lampu-lampu tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.

Warna merah menggambarkan keadaan yang terang dan ceria telah menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan.
Warna merah itu dipanggil hong dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah jika dipakai  pada hari pertama Tahun Baru Cina dan majlis perayaan yang lain. Mereka percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah sepanjang tahun.

Warna Tuah



Mereka percaya warna merah membawa tuah dan kecemerlangan dalam hidup mereka. Nasib mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan warna-warna yang gelap. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Sambutan Hari Raya Cina

                                                                                    Merah lambang kemegahan 

Hiasan tanglung berwarna merah yang pelbagai saiz dan bentuk sering memenuhi  kawasan kediaman masyarakat Cina. Ini  menunjukkan perayaan itu akan disambut dengan cukup meriah. Hiasan dalaman rumah  dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga akan diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan tetamu.  Hiasan bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan harmoni.

Seamasa zaman dahulu orang-orang tua masyarakat Cina sering berpesan agar orang-orang kampung menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baru. Ini kerana dikhuatiri binatang bernama Nian( raksaksa) akan mengganas di kawasan rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau raksaksa tersebut.

Angpau

                                                                           Perayaan diceriakan dengan angpau merah
Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian ‘angpau’ atau sampul merah yang berisi duit. Bagi yang belum berkahwin, mereka layak untuk menerima angpau. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.
Pemberian angpau oleh masyarakat Cina merupakan tradisi utama mereka dan  sering diberikan dalam majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina.
Warna merah sampul ini melambangkan tuah.  Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian . Jumlah wang yang diberi pada majlis perkahwinan biasanya adalah untuk menampung perbelanjaan hadirin serta membantu pasangan pengantin baru.

Keteguhan dan Keberanian

Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan, keberanaian, keceriaan dan  kemegahan. Warna ini  dikatakan memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif dalam kehidupan masyarakat Cina.  Warna ini sering digunakan dalam perayaan dan sambutan majlis kebesaran mereka kecuali hari-hari yang menunjukkan keadaan kesedihan dalam kehidupan mereka.  Warna ini akan terus menjadi simbol kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan keteguhan dan kemegahaan negara apabila  digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan duit syiling.

Warna merah sering dikaitkan dengan masyarakat Cina   terutama pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina. Warna tersebut akan mendominasikan persekitaran kehidupan mereka. Namun, warna merah juga menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah mereka.   Bila tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering  digantung sepanjang jalan yang menandakan perayaan itu kini bukan sahaja disambut oleh masyarakat tersebut tetapi juga sudah menjadi seperti perayaan seluruh masyarakat.

Tinggalkan komen