[VIDEO] 'Malaysia ada UFO?', tular kehadiran objek asing di langit KL waktu malam merdeka


  • Tular
  • Ahad, 03 Sep 2023

Tangkap layar cahaya putih yang dirakam dalam video terbabit yang diambil dengan berlatarbelakangkan bandar raya Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

TULAR satu rakaman video memaparkan keberadaan satu objek asing bercahaya yang melintasi ruang udara negara pada malam Rabu lalu ketika negara menyambut ambang Sambutan Kemerdekaan Ke-66.

Klip rakaman berdurasi 51 saat dikongsikan pengguna akaun TikTok, Styfly Malaysia yang dimuatnaik pada Jumaat itu mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi video dirakam menggunakan kamera berteknologi tinggi itu, satu cahaya kecil dilihat bergerak di atas ruang angkasa negara sebelum ia bergerak lebih pantas sehingga memancarkan cahaya lebih besar.

"Saya pasti ini bukan normal jet yang terbang kerana ia bergerak begitu pantas," dakwa pemilik akaun tersebut.

Menurutnya, video yang diambil berlatarbelakangkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur itu dirakam sempena sambutan malam kemerdekaan Malaysia pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, pemilik rakaman video terbabit mendakwa, hasil daripada imej lebih dekat dipaparkan pada komputernya dari video berkenaan, dia menyimpulkan bahawa cahaya berkenaan berkemungkinan adalah datang daripada meteor, jet atau objek lain yang tidak dapat dipastikan.

Di ruangan komen pada hantaran tersebut, rata-rata pengguna media sosial memberikan pelbagai teori termasuk yang berunsur jenaka.

"Akhirnya, Malaysia ada UFO (objek terbang tidak dikenali)," ujar Abam Drone.

"UFO nak tengok bunga api la," tulis fadly.

WhatsApp Image 2023-09-03 at 9.53.26 AM

Imej lebih dekat memaparkan cahaya daripada objek berkenaan.

Pada masa sama, terdapat pengguna mendakwa turut melihat cahaya yang sama pada malam di tersebut manakala sesetengah daripadanya berkongsikan penjelasan logik kemungkinan di sebalik kehadiran cahaya berkenaan.

"Saya nampak juga yang ni semalam. Cakap juga dengan diri apa yang cerah tu. Ada ambil foto tapi tak jelas sebab guna kamera telefon," tulis Schneider.

"Bukan meteor sebab dari altitud sangat tinggi dan zigzag movement," kata Solo Lagi.

"Macam meteor, tapi dia ubah haluan..." ujar Amar 1989.

"Meteor jenis fireball (jenis meteor cahayanya menyala dengan agak besar sehingga boleh dilihat dari jauh)," tulis Muhd Izzat.

"Saya cenderung menyatakan ini adalah Unidentified Anomalous Phenomena (Fenomena Anomali Tidak Dikenalpasti)," ujar Finn Stephenson.

Unidentified Anomalous Phenomena (UAP) merupakan istilah yang digunakan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) bagi menerangkan objek yang dikesan di udara, laut dan angkasa yang tidak dapat dijelaskan dengan mudah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram