[VIDEO] Pemandu maut terlibat kemalangan ngeri 2 MPV di Kuantan


  • 112
  • Ahad, 29 Okt 2023

Keadaan kemalangan melibatkan dua MPV di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada Ahad.

SEORANG pemandu maut selepas badannya terhempap di bawah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengesahkan kejadian tersebut menerusi satu hantaran di Facebook Polis Trafik Kuantan.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku sekitar pukul 4.30 petang itu mengorbankan seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk siasatan lanjut.

"Sementara itu, dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke wad kecemasan HTAA Kuantan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurut sumber awam, mangsa yang memandu Perodua Alza itu dipercayai cuba mengelak daripada dilanggar oleh sebuah lagi Perodua Alza yang memandu secara berbahaya, sebelum melanggar papan tanda besar di lokasi tersebut.

"(Kemalangan) berlaku di lampu isyarat lapangan terbang. Alza keluar dari airport terus pancung ke kiri jalan. Yang meninggal dunia (juga memandu Alza) cuba mengelak, tetapi langgar papan tanda besar itu.

"Kereta mangsa terbalik, pemandu terkeluar dan dihempap kereta," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram