[VIDEO] 'Perangkap tak menjadi,' Anwar dapat 'tabik hormat' lepas 'sekolahkan' wartawan Jerman isu Palestin-Israel


  • Massa
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Anwar kekal berpegang pada pendirian untuk mempertahankan hak bumi Palestin daripada terus dijajah rejim Zionis.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal berpegang pada pendirian untuk mempertahankan hak bumi Palestin daripada terus dijajah rejim Zionis.

Pendirian tegas itu juga disuarakan Anwar di hadapan pembuat dasar, ahli kumpulan pemikir, agensi kerajaan termasuk pihak media sewaktu mengadakan lawatan rasmi ke Jerman.

Malah, ketika sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada Selasa, jawapan tegas beliau kepada seorang wartawan Jerman yang mempersoalkan tindakan Malaysia menyokong Palestin meraih perhatian ramai.

Anwar ditanya mengenai rakyat Israel yang masih lagi menjadi tawanan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu, namun beliau dengan tegas mengecam negara Barat kerana kurang bertindak atas kekejaman Israel di Gaza dan mereka terus mengecam Hamas.

Video respons Anwar yang tular di media sosial tempatan dan antarabangsa itu mendapat reaksi pelbagai pihak.

Antaranya termasuk pemerhati politik dan isu semasa, Khairul Azri menerusi laman Facebooknya berkata, jawapan balas perdana menteri yang langsung tidak bersifat apolegetik, malah sangat bernas ketika diasak wartawan Jerman perihal hubungan akrab dengan Palestin menjadi tema soalan yang bertali arus daripada mereka.

"Bukan sekali tetapi dua kali. Mula mula mereka cuba 'perangkap' PMX (Anwar) dengan bertanya soalan yang boleh mengundang malapetaka kepada imej negara jika tidak dijawab dengan bijak.

"(Soalan itu) berbunyi, perdana menteri, kerajaan anda menyokong pejuang Hamas tidak seperti kami negara barat, malah tidak mengklasifikasikan serangan 7 Oktober sebagai serangan pengganas, anda juga berkata bahawa Hamas bukan pengganas.

"Adakah anda tidak takut ini akan merosakkan hubungan Malaysia dengan negara barat lain contohnya Jerman?

"Apa PMX jawab? Polisi luar negara kami adalah konsisten, kami tidak menyokong atau menentang penjajahan, aparteid, penghapusan etnik ataupun rampasan harta mana mana negara, tidak kira Ukraine atau di Gaza," tegas beliau.

BACA LAGI: [VIDEO] Motor melelong terlanggar batu sebelum terseret, polis bantuan maut nahas babit 5 kenderaan di Iskandar Puteri

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Jakarta dikecam, TikToker Indonesia mula misi balas dendam 'serang' KL

Anwar menambah, hubungan Malaysia dengan Hamas adalah sayap politik mereka dan kerajaan tidak perlu rasa bersalah atau meminta maaf kepada sesiapa tentang hal itu.

Jelasnya lagi, hubungan tersebut menjadi 'jambatan' untuk menyelesaikan kebimbangan yang ada, termasuk mengenai tawanan yang terlibat.

"Kami tidak ada sebarang kaitan dengan tentera atau sayap ketenteraan dan saya jelaskan kepada sahabat-sahabat di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara lain.

"Walaupun kita mempunyai beberapa perbezaan tetapi sebagaimana kami mengiktiraf Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) jauh lebih lama sebelum Eropah atau AS berbuat demikian, kerana kami percaya dasar apartheid harus ditentang," katanya.

Anwar menegaskan, mengambil pendirian berat sebelah tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Perdana menteri dalam pada itu turut menegaskan pihaknya tidak menyokong pembunuhan kanak-kanak dan wanita.

Sebaliknya, kerajaan menolak naratif dan obsesi seolah-olah semua masalah yang berlaku pada hari ini bermula dan berakhir dengan peristiwa pada 7 Oktober.

"Ia bermula empat dekad lalu dan berterusan sehingga ke hari ini.

"Walau bagaimanpun kesimpulannya sekarang, seperti yang saya katakan kepada Canselor, kita terus pandang ke hadapan.

"Adakah kita nak bincangkan sejarah? Bincangkan kekejaman lalu atau bincang cara nak selesaikan masalah ini?

"Masalah sekarang maksudnya, hentikan permusuhan. Hentikan pembunuhan sekarang!

"Pastikan seluruh masyarakat antarabangsa, Jerman, Malaysia dan negara-negara jiran tidak lagi melakukan keganasan terhadap Muslim, Yahudi, Kristian. Mereka berhak untuk hidup secara aman," tegasnya.

Filipino Muslims wave flags during a rally to show solidarity with Palestinian people in Cotabato province, southern Philippines on Monday Oct. 16, 2023. (AP Photo)

Hubungan Malaysia dengan Hamas adalah sayap politik mereka dan kerajaan tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa tentang hal itu.

Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, wartawan lain pula menyambung soalan.

"Perdana Menteri, anda cadang untuk tinggalkan soal sejarah, tetapi untuk tebusan Israel, 7 Oktober itu adalah suatu perkara kini dan masih wujud dan untuk saudara mara mereka juga.

"Jadi berdasarkan perbincangan dengan pimpinan politik Hamas, adakah anda rasa mereka akan dibebaskan segera? Apakah anda lihat apa yang berlaku 7 Oktober itu sebagai satu keganasan?" soalnya.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa mengambil pendirian berat sebelah tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Ujarnya, beliau setuju agar tebusan dibebaskan namun ia bukanlah penyelesaian sebenar.

"Kami hanyalah 'suara kecil', saya tidak mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan Hamas, tapi ya saya mempunyai hubungan tersebut.

"Saya menyatakan kebimbangan bahawa tebusan mestilah dibebaskan, namun bolehkah anda katakan bahawa itu semuanya dah cukup, titik?

"Bagaimana dengan penempatan haram? Bagaimana dengan perangai penceroboh haram kini yang berterusan setiap hari?

"Bagaimana dengan rampasan tanah? Hak dan maruah meraka? Lelaki, perempuan dan anak-anak mereka? Adakah ini semua tidak perlu dirisaukan? Di mana kita buang kemanusiaan kita?" katanya.

Untuk rekod, Jerman adalah antara negara yang dikenali sebagai sekutu Israel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram