Keadaan padang antara 6 sebab SNBJ kekal venue final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan lebih 85,000 penyokong pada satu-satu masa.

STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi menjadi pilihan sebagai venue perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 pada 26 November 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang sedia bekerjasama sekali lagi selepas kejayaan penganjuran perlawanan akhir Piala FA pada 10 September 2022 di SNBJ.

“Sudah pasti bagi MFL kami gembira untuk menganjurkan aksi final TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas final Piala FA berjalan lancar serta meriah dengan kehadiran lebih 84,000 penyokong.

"Jadi kami jangkakan sambutan sama bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia nanti.

“Kita juga sedia maklum, Stadium Nasional Bukit Jalil adalah gelanggang yang boleh menampung kapasiti penyokong dengan fasiliti terbaik, jadi kami percaya ini akan memberikan keselesaan dan keselamatan buat penyokong yang hadir.

“Selain itu sudah pasti antara yang turut dititikberatkan adalah kualiti padang dan saya percaya dengan pengalaman PSM dalam mengendalikan final sebelum ini, mereka akan membuat persiapan rapi dalam aspek penjagaan padang menjelang final pada 26 November ini,” katanya dalam kenyataan MFL pada Khamis.

Sementara itu, Stuart memaklumkan, pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral paling sesuai bagi penganjuran aksi final TM Piala Malaysia edisi ke-96 itu dibuat atas beberapa faktor iaitu keadaan padang, kapasiti stadium, penyiaran, akses pengangkutan awam, kemudahan dan ruang yang luas untuk aktiviti penaja serta keselesaan dan keselamatan penonton.

"Hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada pihak PSM mendapati keadaan padang SNBJ dalam keadaan baik dan proses penjagaan rapi akan terus dilakukan menjelang aksi final itu nanti," katanya.

Dalam pada itu, Stuart berkata, meskipun MFL berdepan dengan peningkatan kos penganjuran, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dikekalkan seperti perlawanan akhir Piala FA tahun ini pada 10 September lepas dengan tiket serendah RM50 dan RM70 bagi General Admission manakala RM150 pula untuk Premium Grandstand serta VIP Grandstand (RM200).

Beliau berkata, proses jualan tiket final akan ditentukan oleh pasukan finalis seperti dilakukan sebelum ini kerana dengan cara sedemikian, tiket yang diperuntukkan kepada setiap kelab dapat dibeli oleh penyokong mereka secara sama rata dan adil.

"MFL membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dengan mengambil kira kejayaan penganjuran final Piala FA 2022 di mana sambutan yang ditunjukkan oleh penyokong yang hadir ke stadium cukup hebat.

"Saya percaya dengan penetapan empat tahap harga tiket ini akan memberi lebih pilihan buat penyokong kedua-dua pasukan finalis yang ingin hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak Piala Malaysia kali ini," katanya.

Empat pasukan iaitu juara 33 kali, Selangor FC, diikuti juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim, Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC kini sedang mengintai slot ke final Piala Malaysia musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram