PSM jamin rumput SNBJ 'cergas sepenuhnya' sebelum final Piala Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Padang Stadium Nasional Bukit Jalil mengalami kerosakan selepas konsert kumpulan Coldplay diadakan.

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata susulan kerosakan yang berlaku selepas konsert Coldplay Rabu lepas, pihaknya akan melakukan kerja-kerja membaik pulih pada kadar segera seperti yang dilakukan ketika perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 sebelum ini.

"Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

FOHeuZuacAAPcJF

Faidz ikrar rumput SNBJ akan dibaiki segera sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/PSM

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di SNBJ memuat naik gambar keadaan permukaan padang gelanggang rasmi Harimau Malaya itu yang kelihatan terjejas di beberapa bahagian menerusi laman Instagram Story baginda.

Meskipun Tunku Ismail memuat naik gambar berkenaan tanpa sebarang kapsyen, pengguna media sosial rata-rata meluahkan kekesalan dan ketidakpuasan hati melihat keadaan permukaan padang itu.

Rabu lepas, kira-kira 85,000 peminat muzik membanjiri SNBJ bersempena konsert Coldplay, sebuah kumpulan rock British.

Permukaan padang SBNJ menjadi buah mulut orang ramai susulan keadaan yang tidak memuaskan ketika aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India, Oktober lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram