Seorang maut manakala seorang lagi cedera dilanggar MPV yang dipandu remaja lelaki beusia 16 tahun di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan susulan melanggar seorang pemotong rumput hingga menyebabkan kematian dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, semakan mendapati remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza itu tidak memiliki lesen memandu.

“Remaja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai kemalangan, Zaidy berkata, dalam kejadian jam 11 pagi tadi, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar meninggal dunia akibat dirempuh MPV yang dipandu remaja terbabit.

Kata beliau, mangsa, Cinglowpa, 20, dirempuh ketika sedang berehat bersama rakannya berusia 33 tahun di bahu jalan.

“Siasatan mendapati remaja berkenaan memandu MPV dengan laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Susulan itu, dia melanggar sebuah pokok sebelum merempuh dua mangsa tersebut.

“Akibat rempuhan itu mangsa maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di kepala manakala rakannya cedera parah iaitu patah bahu kanan,” jelas beliau.

Tambah Zaidy, mangsa cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim manakala mayat mangsa maut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.