Suasana khemah di Mina yang didakwa sesak dan sempit. foto FB Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

MAKKAH – Isu ruang sempit dan sesak di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang prihatin dengan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Seri Paduka telah menghantar mesej kepada beliau supaya melihat mengenai isu ruang sempit khemah di Mina serta hal kebajikan jemaah haji negara.

Justeru, katanya beliau telah berbincang dengan pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH) supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) dapat memberikan pandangan untuk diputuskan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dari segi ijtihad yang baharu termasuk berkaitan mabit (bermalam) di Mina.

“Agama Islam adalah agama yang memberi penyelesaian pada setiap masalah yang timbul. Kalau isu (ruang) sempit dan kesukaran dialami jemaah, isu mabit di Mina, perkara ini perlu dilihat semula dan dibincangkan secara teliti oleh penasihat-penasihat syariah untuk mencari satu penyelesaian terbaik,” katanya dalam sidang media di sini.

Isu ruang sempit dan kesesakan selain masalah kerosakan penyaman udara yang berlaku di khemah penginapan di Mina pada musim haji ini diperkatakan di media sosial dan turut dilapor sebuah portal berita berbahasa Inggeris.

Mohd Na’im berkata, terdapat jemaah haji negara lain yang tinggal di luar kawasan Mina tetapi berulang-alik untuk mabit di Mina dalam tempoh ditetapkan syarak.

Katanya, sempadan Mina ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu, walaupun bilangan jemaah haji meningkat setiap tahun seiring peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

“Hakikatnya jumlah jemaah haji akan bertambah tetapi keluasan Mina hanya itu, jadi kalau nak pastikan dengan jumlah jemaah haji yang bertambah setiap tahun, memerlukan ijtihad yang baharu.

“Tujuannya ialah untuk memastikan keselesaan kerana ia berkait rapat dengan ibadat, kalau (jemaah haji) rasa tak selesa dan nak marah sahaja, nak mengamuk, ia akan mengganggu ibadat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan bagi musim haji 1444 Hijrah ini, sebelum selesai keberangkatan pulang jemaah haji.

Katanya TH juga akan mengadakan mesyuarat pascanilai bagi menilai secara terperinci perjalanan musim haji tahun ini serta ruang untuk penambahbaikan. – BERNAMA