TH Utamakan Kebajikan dan Keselamatan Jemaah Haji

MAKKAH, 29 Jun 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menafikan pihaknya tidak bertindak balas ke atas semua rungutan dan aduan kerosakan yang berlaku berkaitan dengan khemah di Mina, sebaliknya pihak TH sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman menjelaskan bahawa ruang yang sempit di Mina dihadapi oleh semua jemaah haji dari negara-negara lain dan jemaah haji Malaysia tidak terkecuali lebih lebih lagi dengan kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan. 

“Sempadan Arafah dan Mina telah ditetapkan oleh hukum dan ianya tidak berubah dari dahulu walaupun jumlah jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara,” kata beliau. 

“Masalah ruang yang sesak ini telah dihadapi oleh jemaah haji dari semua negara sejak sekian lama dan ini bukan isu yang baru timbul. Ruang dan saiz di dalam sebuah khemah di Mina adalah di luar kawalan TH kerana kemudahan – kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara,” jelas Syed Hamadah. 

Pengurusan TH dan Maktab telah memaklumkan kepada para jemaah haji perihal ruangan yang sempit semasa kursus haji di Tanah Air dan juga semasa taklimat Masyair di Tanah Suci yang menekankan keadaan tidur di Mina tidak dapat dilakukan secara terlentang disebabkan ruangan yang terhad. 

Berikutan dengan situasi tersebut, TH sentiasa menasihati agar jemaah haji membawa satu beg roda yang dibekalkan bagi mengelakkan ruang yang terhad ini menjadi semakin sempit. Namun, pihak TH turut mendapati ada jemaah haji yang membawa lebih dari satu beg semasa Masyair

Tuan Syed Hamadah turut menyatakan bahawa situasi satu tilam satu jemaah hanya terpakai di Arafah tetapi di Mina pula tilam dijadikan pengalas dan bukannya tanda ruang untuk seorang jemaah haji. 

“Pengurusan Maktab TH telah bersama dengan para jemaah haji di tempat perkhemahan supaya memberi kerjasama dan bermuafakat untuk menyusun ruang yang ada mengikut alokasi nama jemaah dalam setiap khemah yang telah ditetapkan,” tambah beliau. 

Antara inisiatif awal yang telah dilaksanakan oleh TH adalah memberi sebahagian ruang yang diperuntukkan untuk ruang pejabat dan penginapan petugas TH termasuk ruang petugas Muassasah kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang yang sedia ada. 

Bagi sebahagian jemaah haji yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini, pihak TH membenarkan jemaah haji berulang alik jika ada permintaan dan ini adalah atas kesanggupan serta daya usaha jemaah haji itu sendiri. 

“Disamping itu, TH juga telah merancang meningkatkan nisbah nafar awal yang dahulunya hanya 10 peratus, kepada 20 peratus dan terus dipertingkatkan sehingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina,” katanya lagi.

Syed Hamadah turut menyatakan bahawa ruang yang terhad di perkhemahan Mina turut mengambil kira ruang untuk keperluan bilik air, dapur memasak, setor makanan dan ruang pejabat petugas Muasassah yang akan memberikan perkhidmatan jemaah haji di Maktab tersebut. 

“Pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang menambah baik kemudahan dan infrastruktur untuk menjaga kebajikan jemaah haji termasuk penghawa dingin di Mina yang sudah berfungsi begitu lama,” tambah beliau lagi,

Pihak pengurusan kanan TH bersyukur kerana tiada sebarang musibah yang berlaku dan berdoa agar semua urusan jemaah haji Malaysia dipermudahkan serta dapat menyempurnakan ibadat haji mereka dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah. 

Tuan Syed Hamadah juga meminta mana-mana pihak untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu yang timbul daripada pengurusan TH bagi mengelakkan sebarang kegusaran dan keraguan rakyat Malaysia.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑