Ibu bersama lapan anak, seorang mekanik maut kemalangan ngeri di Lebuhraya Elite

0
1228

SEPULUH individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang  lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

“Nahas berkenaan melibatkan 17 mangsa yang 10 daripadanya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Baca berita berkaitan: 10 maut di Lebuhraya Elite: Kenderaan mangsa rosak bateri berhenti di laluan kecemasan sebelum dirempuh treler

Beliau berkata sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam tadi untuk operasi menyelamat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas.

“Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis. Bagaimanapun, 10 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya sambil menambah operasi tamat pada jam 2.40 pagi.

Identiti mangsa dikenalpasti

Norazam berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Razatul Aliah Abd Razak, 16;  Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17.

Seorang lagi yang maut ialah mekanik Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Beliau berkata individu yang menaiki treler tidak mengalami sebarang kecederaan dikenali sebagai Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14. – BERNAMA

Gambar ihsan BOMBA
Gambar ihsan BOMBA
Gambar ihsan BOMBA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here