Rita Rudaini: Tuntutan RM1,500 sebulan adalah munasabah

Rita Rudaini: Tuntutan RM1,500 sebulan adalah munasabah

21 Jan – Dramatis popular Rita Rudaini menjelaskan tuntutan sebanyak RM1,500 sebulan sebagai keperluan makan dan minum adalah munasabah.

Rita berkata demikian selepas peguam bekas suaminya Aidil Zafuan Abd Razak mendakwa tuntutan tersebut adalah melampau.

"Sekiranya tidak bekerja, saya akan masak dan makan di rumah. Saya memperuntukkan perbelanjaan makan dan minum sebanyak RM50 sehari. Setiap hari saya makan empat kali sehari," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Dalam pada itu, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar turut menuntut bayaran bil utiliti sebanyak RM600 sebulan.

"Ia adalah berdasarkan bil semasa dan sekiranya lebih saya tambah menggunakan duit sendiri."

Selain itu, pelakon berusia 39 tahun itu turut memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya mempunyai sebuah kereta Mercedes GLC 350 dan juga sebuah motorsikal berkuasa tinggi Ducati Monster.

Terdahulu, peguam Aidil, Rushdan Sujak Rafee telah memaklumkan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana sedang menjalani persiapan akhir Liga Malaysia.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man kemudian telah menangguhkan perbicaraan dan akan disambung pada 27 Januari ini.