Siakap Keli

Wanita Habiskan 3 Bulan, Lukis Watak “Disney Princess” Gayakan Busana Tradisional Melayu Setiap Negeri Yang Cantik Bergaya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kecantikan busana tradisional di Malaysia ini tidak dapat dinafikan lagi. Umumnya busana ini dicipta dengan penuh ‘ukiran’ seni, lambang, simbolik dan kemegahan sesuatu negeri itu.

Jika dulu busana tersebut menjadi pakaian harian bagi orang biasa, namun kini nilainya sudah diangkat menjadi pakaian eksklusif yang diperagakan dengan tujuan tertentu. Maklumlah, ia pusaka warisan bangsa. Nilainya harus dijaga semahunya.

Baru-baru ini pula, tular di media sosial beberapa gambar watak kartun Disney Princess yang memperagakan busana-busana tradisional mengikut negeri-negeri di Malaysia, serta negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.

Menariknya, setiap watak kartun tersebut memakai busana yang berbeza. Indah pula jika dilihat, kartun yang berwajah ‘orang putih’ itu menyarung busana tradisional kita. Demikianlah hasil nukilan tangan ’emas’ oleh pelukis tempatan, Farah Lina Daim. Mari ikuti temuramah bersama pelukis ini.

 

Melukis kerana minat

Farah atau nama sebenarnya Farah Lina Mohamad Noor Daim, 35, berkata, pada awalnya dia mendapat idea untuk menghasilkan lukisan tersebut adalah kerana minat yang mendalam.

“Saya peminat filem animasi Disney dan saya juga minat busana tradisional. Saya teringin nak lihat watak Disney menyarung busana tradisional.

“Selain itu, saya juga meminati beberapa animasi lain seperti Sailormoon, Dragon Ball dan Ultraman Nusantara,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

 

Tiga bulan siapkan 17 watak

Dalam pada itu, Farah mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan kesemua lukisan tersebut.

“Saya ambil masa tiga bulan lebih, dua bulan buat lakaran sahaja untuk dapatkan sentuhan Disney. Bajunya busana warna dan corak adalah daripada baju asal (watak) Disney.

“Medium yang digunakan pula adalah peralatan digital,” katanya lagi.

Jelas anak jati Kuala Kangsar, Perak ini lagi, antara cabaran untuk melukis watak Disney Princess berbusana tradisional ini adalah untuk mendapatkan ‘aura’ sentuhan.

“Cabarannya adalah nak dapatkan ‘vibe’ Disney walaupun memakai pakaian Tradisional. Jika ramai dapat kenal watak dan tahu dari filem mana maka lukisan itu ok,” tambahnya.

Masakan tidak, bukan mudah mahu membuatkan orang ‘tahu’ dan cam bahawa watak di sebalik busana itu adalah Disney Princess kerana pakaiannya sudah berbeza. Namun Farah telah membuktikan bahawa aura lukisannya berjaya.

 

Minat melukis sejak sekolah

Dalam pada itu, Farah yang juga merupakan lulusan bidang multimedia di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) berkata, bakatnya ini sudah lama terpancar sejak berumur 10 tahun lagi.

Bakat yang ada dimanfaatkan sebaiknya, malah turut dikembangkan lagi ketika menjalani tempoh pengajian di universiti satu masa dahulu.

Bertahun-tahun berkecimpung dalam bidang lukisan, Farah bukan sahaja mahir melukis secara ‘manual’, malah dia juga mampu melukis dengan medium digital.

“Bagi lokisan komik, saya mulakan pada tahun lepas. Sebelum musim COVID-19 pula saya buat animasi 3D. Manakala kalau sekarang pula, saya melukis komik dan buku cerita kanak-kanak,” katanya.

Cabaran sepanjang bergelar pelukis

Setiap profesion kerjaya pasti ada pasang surutnya. Bukan mudah bagi setiap manusia itu untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa, termasuklah apa yang dialami oleh Farah sendiri.

“Cabaran yang saya hadapi, kebanyakan orang kita suka seni tapi untuk nilai pasaran (value market) itu terlalu rendah.

“Yang sudah tempah lukisan kemudian minta batalkan tiba-tiba pun ada. Ada juga yang nak bayaran murah dan banyak kali minta tukar (lukisan) daripada perjanjian (tempahan) asal,” tambahnya lagi.

Situasi ini hakikatnya sudah ‘lazim’ dialami oleh kebanyakan pelukis grafik. Karenah-karenah seperti inilah yang seharusnya tidak boleh berlaku. Pendek kata, pelukis pun mahu ‘cari makan’ juga.

Saat tak dapat dilupakan

Namun di sebalik cabaran ini, ada juga beberapa momen indah yang berjaya ‘menyentuh’ hati Farah. Antara momen yang tidak dapat dilupakan adalah berkenaan lukisan Disney Princess ini.

“Momen tak boleh lupa, untuk Disney Princess ini apabila ramai orang berbilang bangsa memberikan komen menghargai lukisan tersebut dan mengucapkan terima kasih,” jelasnya.

Jelaslah di sini bahawa hanya dengan lukisan sahaja, Farah telah berjaya ‘menyatukan’ hati semua bangsa di tanah air tercinta ini.

Malah Farah juga berhasrat untuk melukis watak kartun dengan berbusana tradisional lelaki pula pada masa akan datang.

Jika anda mahu melihat koleksi-koleksi lukisan hasil ‘air tangan’ Farah yang selebihnya, bolehlah dijemput ‘bertandang’ ke laman Facebook Art of FarahDaim. Pasti mata anda akan lebih terkhayal dengan nukilannya.

Sumber: Farah Lina Daim

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'