Pengalaman Mendaki Jabal Nur, Bukit Yang Menjadi Saksi Kerasulan Nabi SAW #4 Travelog Umrah 2019

Jabal Nur

Merancang dari Malaysia

Hati saya tergerak untuk mendaki Jabal Nur bila saya menyelak gambar di FB. Sebenarnya saya belum pernah menjejaki bukit berakah ini, walaupun sudah dua kali menjadi tetamu Allah. Bila saya masukkan di dalam WhatsApp group kumpulan umrah saya, terus kedua-dua akak saya setuju untuk ikut serta. Asalnya saya merancang untuk ke sana menaiki teksi. Tapi, bila mana mutawwif memberitahu yang bas akan disediakan untuk mereka yang berhajat ke sana dengan bayaran 50 Riyal, saya terus meletakkan nama. Zuzu dan keluarga pula tidak ikut serta.

Jabal Nur (جبل النور‎), bermaksud “Bukit Bercahaya”.  Bukit ini terletak kira-kira 2 batu dari Mekah. Bukit inilah menempatkan sebuah gua di lereng curam di puncaknya iaitu Gua Hira’ di mana Nabi Muhammad SAW telah menerima wahyunya yang pertama dengan perantaraan Malaikat Jibril sebagai utusan dari Allah. Oleh itu, bukit ini pernah menjadi saksi kedatangan dua makhluk Allah yang mulia iaitu Rasulullah SAW dan Malaikat Jibril AS.

Bertolak dari hotel

Kami berkumpul di lobi hotel kira-kira jam 9.00 malam selepas selesai solat Isyak. Waktu malam cuaca lebih sejuk. Memandangkan tidak semua jemaah yang pergi, kami dikumpulkan bersama-sama jemaah dari travel yang lain. Kesemuanya lebih kurang 40 orang. Kami menaiki bas dan bertolak ke destinasi. Perjalanan memakan masa lebih kurang 30 minit juga. Bas berhenti di suatu lokasi, dan selepas itu kami menaiki van kerana jalan untuk menuju ke kaki bukit agak sempit. Kawasan tersebut merupakan kawasan kampung penduduk tempatan.

Mendaki Jabal Nur

Saat yang dinantikan telah tiba, 100 meter pertama jalan yang dilalui hanya sedikit landai. Selepas itu bermulanya pendakian sebenar. Bukit ini mempunyai laluan tangga daripada batu-batu bukit. kami perlu mendaki lebih kurang 45 darjah dan laluannya berlingkar seperti ular. Berbeza dengan Jabal Nabi Musa di Sinai, laluan di sana mengelilingi bukit tersebut. Along paling laju mendaki, saya pula berhenti sekejap-sekejap. Angah pula paling lambat, dan dia suruh kami jalan dulu, kalau dia tiada kat atas nanti maknanya dia tidak meneruskan perjalanan.

Tempat untuk rehat seketika

Di tangga setiap lereng bukit, ada orang Arab Badawi yang menunggu untuk memimta sedekah. Mereka berpura-pura membancuh simen, kononnya merekalah yang membuat laluan untuk mendaki. Cuaca yang sejuk menyebabkan kepenatan tidak terasa, cuma mendaki anak tangga yang memberikan sedikit cabaran. Laluan mendaki pula diterangi dengan cahaya bulan. Sungguh terang. Sebenarnya saya sudah lama tidak mendaki gunung . Saya tidak meminati aktivit mendaki gunung kerana pengalaman pahit yang mengorbankan seorang kawan saya semasa mendaki Gunung Ledang. Ketika itu umur saya baru 19 tahun dan sedang mengikuti Kursus Persediaan untuk ke Timur Tengah. Sejak itu saya fobia untuk panjat gunung kecuali terpaksa. Saya lebih gemar menikmati keindahan pantai berbanding hutan. Tapi kali ini, hati saya terbuka untuk mendaki Jabal Nur. Alasannya saya mahu melihat sendiri bukit yang menjadi saksi kerasulah Nabi Muhammad SAW.

Permandangan di puncak bukit pada waktu siang

Lebih 45 minit, saya dengan Along hampir sampai dipuncak. Di situ terdapat sebuah gerai menjual makanan. Kami teruskan perjalanan untuk Gua Hira’, lokasi di mana Rasulullah SAW menerima wahyu pertama Baginda. Di sini jemaah sudah agak ramai tapi tidaklah terlalu sesak. Untuk sampai di Gua Hira’, kami perlu melalui sedikit cerun dan lubang yang hanya boleh membuat sebatang tubuh manusia. Saya yang berbadan kecil ini pun sukar untuk menembusi lubang tersebut, apatah lagi Rasulullah SAW yang sudah pastinya tubuh badan Baginda lebih besar. Allahuakbar, tidak mustahil urusan Baginda dipermudahkan Allah untuk sampai ke gua ini. Kira-kira 15 minit menempuh kesukaran Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki di gua tersebut. Gua ini terletak dihujung puncak bukit. Jadi, kita boleh nampak suasana kota Mekah pada waktu malam. Kami melakukan solat sunat dan sempat mengambil gambar.

Permandangan dari puncak bukit

Ketika dalam perjalanan turun, Angah pula tiba. Kami ingatkan dia berpatah balik. Jadi, kami bawa Angah sampai ke Gua Hira’ tersebut. Kami berada dipuncak lebih kurang 20 minit juga untuk bergambar kenangan. Selepas selesai kami mula turun. Alhamdulillah, perjalanan turun daripada bukit dipermudahkan. Semasa turun saya bertembung dengan rombongan makcik-makcik yang berwajah Turki sedang merangkak mendaki bukit. Gigihnya mereka. Kami tiba di hotel semula lebih kurang jam 12 tengah malam.

Tidak Kepenatan

Keesokkan hari, saya bangun awal seperti biasa untuk menunaikan Solat Subuh di Masjid Haram. Peliknya, badan saya tidak merasa keletihan dan kaki pula tidak lenguh-lenguh. Ajaib! Kerana kebiasaannya bila saya melakukan aktiviti berat seperti mendaki gunung atau jogging, kaki saya akan sakit-sakit keesokkan harinya. Saya pasti, itulah keberkatan Jabal Nur yang menjadi saksi kegigihan seorang manusia mulia yang dilantik Rasul. Wahai Jabal Nur, semoga Allah merahmatimu!

Nota: Gambar-gambar diambil dari FB Farid Isa

Leave a comment