Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta arak Oktoberfest tak patut dibenarkan - Idris
Diterbitkan:  Jul 28, 2022 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

"Berkenaan dengan Oktoberfest, semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara Malaysia yang berasaskan Islam sebagai agama persekutuan,” kata menteri agama.

"Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.”

Katanya, arak menyebabkan keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan juga prestasi kerja.

Idris berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi DAP meminta perdana menteri menyatakan pendirian tentang sambutan Pesta Bon Odori dan Oktoberfest yang merupakan acara budaya Jepun dan Jerman.

Katanya, pesta itu telah pun disambut dengan meriah puluhan tahun tanpa gangguan ke atas mana-mana pihak ataupun merosakkan akhlak mereka yang menghadirinya.

Sejak berada di luar kerajaan, PAS antara pihak yang lantang menentang penganjuran Oktoberfest walaupun secara bersyarat.

"Tidak kira apa syarat yang ditetapkan demi membolehkannya, ia tetap tidak boleh diterima," kata bekas ketua Dewan Ulama PAS

Sementara itu dalam isu Bon Odori, Idris berkata, kerajaan tidak menghalang penganjurannya tetapi hanya menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat.

Dia berkata kajian dan penelitian awal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perayaan itu mengandungi unsur-unsur menyerupai agama lain dan mempunyai upacara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Di sebalik bantahan, sambutan Bon Odori di Shah Alam baru-baru ini mengundang sambutan hangat puluhan ribu peserta, termasuk umat Islam. 

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah menolak kritikan terhadap Bon Odori dan meminta penguat kuasa agama hadir sendiri membuat penilaian.

Lihat Komen
ADS