Penunggang motosikal maut dalam kemalangan ngeri

0

KEADAAN mangsa selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Batu 2 Jalan Apas, Tawau awal pagi kelmarin.

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ngeri di Batu 2 Jalan Apas di sini kira-kira jam 1 pagi kelmarin akibat melanggar tembok pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng, berkata mangsa dikenali sebagai Jay-Are Muhammad, 23, memiliki Sijil Lahir bernombor 6353/ 92 dan tidak memiliki lesen memandu.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin, sambil mendedahkan mangsa menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dan dalam perjalanan dari arah Bandar Tawau ke Batu 3 Jalan Apas.

Keong berkata berdasarkan siasatan awal mendapati motosikal mangsa disyaki hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tembok pencawang SESB.

Mengulas lanjut, beliau menyeru saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pihak polis di IPD Tawau ataupun balai-balai berdekatan untuk membantu siasatan.

“Kita juga mengingatkan penunggang-penunggang motosikal supaya sentiasa berhati-hati semasa berada di atas jalan raya dan memastikan aspek keselamatan diri sentiasa dititik-beratkan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya lagi.