Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah pagi ini - Utusan Malaysia

Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah pagi ini

JEMAAH haji warga Malaysia mengambil kesempatan berdoa di luar khemah mereka di Mina ketika hujan kira-kira pukul 10 malam waktu tempatan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kesemua 263 jemaah haji warga Malaysia meninggalkan Mina kira-kira pukul 5.20 pagi ini waktu tempatan (10.20 pagi waktu Malaysia) untuk bergerak menuju ke Arafah. 

Kesemua mereka bergerak serentak menaiki bas menuju Arafah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Mina untuk melaksanakan wukuf iaitu rukun haji yang paling penting yang juga kemuncak kepada ibadat haji. 

Warga Malaysia, Ahmad Najhan Hassim berkata, jika berkesempatan jemaah haji warga Malaysia akan mendengar khutbah haji dan menunaikan solat Zuhur serta asar di Masjid Namirah sebelum meneruskan perjalanan ke khemah di Arafah. 

Ujarnya, jemaah haji juga akan mula berdoa di luar khemah di Arafah selepas solat asar sehingga maghrib sebelum bergerak ke Muzdalifah untuk mabit iaitu antara perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan. 

“Untuk persediaan melontar Jamrah Kubra pula, pihak agensi sudah menyediakan tujuh anak batu kepada setiap jemaah. 

“Jika diikutkan jemaah disunatkan mengutip anak batu itu sendiri tetapi bagi mengelakkan berlakunya kontak di tempat terbuka yang mungkin boleh merisikokan jangkitan Covid-19, jadi anak batu ini turut disediakan oleh agensi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Ahmad Najhan, 30, yang berasal dari Gombak, Selangor yang sudah tiga tahun bekerja sebagai jururawat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah itu merupakan antara 263 rakyat Malaysia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Najhan berkata, dia dan warga Malaysia yang lain menjalani rukun dalam melengkapkan ibadat haji berkenaan dengan penuh rasa terharu dan syukur kepada Allah SWT. 

Menurutnya, dia dan jemaah haji lain turut berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan mereka diberikan kemudahan dan kelancaran oleh Allah SWT sepanjang menunaikan ibadat tersebut. 

“Saya juga akan mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia khususnya dalam menghadapi Covid-19 semoga pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi dan dirahmati Allah SWT sepanjang masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya