Ayam goreng kunyit RM20: Pemilik restoran beri penjelasan

Ayam goreng kunyit RM20: Pemilik restoran beri penjelasan

TANGKAP layar seorang pengadu tentang harga makanan yang mahal di sebuah restoran di Pulau Langkawi dalam media sosial yang tular, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pemilik kedai makan di Pantai Chenang di sini yang menjual satu hidangan ayam goreng kunyit berharga RM20 telah mempamerkan harga pada menu yang diberikan kepada pelanggan.

Zulfan Bustami, 43, memberitahu, dia tiada di restoran semasa kejadian, namun pekerjanya telah memberikan buku menu kepada pelanggan wanita yang menularkan resit bayaran hidangan tersebut.

“Pelanggan tersebut adalah orang tempatan, dan sepatutnya dia sudah mengetahui harga makanan di sekitar Pantai Chenang berbeza dengan kawasan lain di Langkawi.

“Harga ini disebabkan kadar sewa kedai di sini adalah lebih tinggi berbanding tempat lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, pelanggan tersebut datang ke kedainya pada Sabtu lalu dan gambar kedainya yang ditularkan  diambil pada keesokan harinya.

Ujarnya, saiz hidangan ayam goreng kunyit tersebut sesuai dimakan untuk dua orang dan menggunakan 160 gram isi ayam, lobak merah, kacang panjang dan bawang Holland.

Menurutnya, dia juga cuba untuk menghubungi pelanggan tersebut melalui laman Facebook tetapi pelanggan tersebut mengelak untuk bertemu.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan tempoh dua hari kepada pemilik kedai tersebut yang didakwa menjual menu ayam goreng kunyit pada harga RM20 sepinggan.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap peniaga terbabit susulan hantaran yang dibuat seorang pelanggan di media sosial.

Beliau berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Notis tersebut dikeluarkan setelah seorang pelanggan yang mengunjungi sebuah kedai makanan di Pantai Chenang melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit.

Pengadu yang dikenali sebagai Hada Jais turut memaklumkan terpaksa membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya