Ibadah melontar jamrah berjalan lancar - Utusan Malaysia

Ibadah melontar jamrah berjalan lancar

JEMAAH haji melakukan rukun melontar jamrah di Mina. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUZDALIFAH: Kira-kira 60,000 jemaah haji tiba di Muzdalifah untuk melakukan rukun melontar jamrah selepas menghabiskan hampir 12 jam mengerjakan wukuf di Arafah.

Lapor Arab News, beberapa minit selepas matahari terbenam pada hari kesembilan Zulhijjah, para jemaah mula bergerak ke dataran Muzdalifah bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Jemaah haji dibawa ke Muzdalifah menggunakan lebih 1,500 bas dengan setiap satu daripadanya dinaiki kira-kira 20 penumpang.

Di setiap bas, terdapat panduan yang menyalurkan segala maklumat diperlukan oleh jemaah bagi memastikan mereka mematuhi dan menjaga penjarakan sosial.

Bas tersebut diiringi oleh pasukan keselamatan malah selang waktu ditetapkan bagi kenderaan tersebut agar aliran lalu lintas lancar.

Di Muzdalifah, para jemaah mengumpul batu kerikil untuk rukun melontar di Mina.

Hari pertama di Mina yang merupakan tanggal 10 Zulhijjah menandakan hari pertama Aidiladha.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Tawq Al-Rabiah memberitahu saluran TV Al-Ekhbariya, tiada kes Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah haji setakat ini.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdul-Fattah Mashat berkata, kesemua jemaah dibawa dari Mina ke Arafah dalam masa tiga jam.

“Di Mina, jemaah akan melakukan rukun melontar mengikut kumpulan dan kod warna yang ditetapkan.

“Setiap kumpulan akan melontarkan (batu) di tiang dari lantai yang sudah ditentukan untuk mengelak jemaah berkumpul dan kesesakan,” katanya.

Abdul-Fattah turut memuji para jemaah kerana mematuhi peraturan dan mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya