'Tak sedap hati’ petanda hilang dua anak dalam kemalangan ngeri

‘Tak sedap hati’ petanda hilang dua anak dalam kemalangan ngeri

KEADAAN Perodua Myvi yang terlibat kemalangan maut meragut tiga nyawa di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, dekat kilang Farm Fresh, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: “Apabila melihat Suhada pulang kerja awal untuk keluar makan, tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati dan bimbang ada sesuatu berlaku padanya.”

Demikian luah Fauziah Sulong, 59, ibu kepada Suhada Ramli, 22, yang maut bersama kakaknya, Nazira, 23, selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu turut meragut nyawa seorang lagi rakan Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22.

Menurut Fauziah, dia tidak menyangka perasaan itu adalah petanda dua anaknya ditimpa kemalangan hingga meragut nyawa kerana Suhada tidak pernah pulang kerja seawal pukul 2 petang.

Katanya, sebelum kejadian beliau ada bertanyakan kepada Suhada tentang perkara itu dan dia memberitahu kepulangan awal itu kerana ingin keluar makan bersama-sama kawan.

“Saya tanya dia kalau hendak bawa kakak sekali. Lalu saya dan suami mengambil Nazira pulang kerja dan kami berhenti kereta di separuh jalan sebelum Nazira kemudiannya menaiki kereta dipandu adiknya (Suhada) itu.

“Sebelum mendapat berita tentang kemalangan itu, abangnya sudah menghantar mesej bertanya di mana dan mereka membalas sudah dalam perjalanan pulang. Sebelum itu, Suhada yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik tidak pula memberitahu destinasi mereka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Muadzam Shah di sini, semalam.

FAUZIAH Sulong tidak dapat menahan kesedihan hilang dua anak yang maut dalam kemalangan. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, dia reda dengan pemergian kedua-dua anaknya, namun berasa sedih memandangkan hari ini adalah ulang tahun kelahiran Nazira.

Katanya, sebelum kejadian Nazira memberikannya sekeping gambar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya bertanya pergi mana? Tetapi kedua-duanya tidak memberitahu hanya menyatakan pergi makan-makan. Kami bergurau menyatakan saya pun hendak makan juga tetapi Nazira memberitahu esoklah (malam ini) kita pergi makan-makan memandangkan hari ini (semalam) cuti.

“Kini mereka berdua sudah tidak ada, saya reda dengan kehilangan dua anak sekali gus namun berasa sangat sedih bila membayangkan wajah dua beradik itu, tambahan mereka sangat rapat seakan kembar dan segala aktiviti banyak dilakukan bersama-sama,” katanya.

SUHADA Ramli (kiri), Nazira (tengah) dan Nurul Natasha Ahmad Akbal yang maut dalam kemalangan melibatkan Perodua Myvi dan treler di Kilometer 27 Jalan Ibam–Rompin, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. – IHSAN JBPM PAHANG

Sementara itu, Ahmad Akbal Mohd., 61, bapa kepada Nurul Natasha berkata, kehilangan anak keenam dari tujuh beradik itu begitu dirasai kerana dia merupakan anak yang paling ceria, suka bergurau-senda dan sering mengusik ahli keluarga.

Bagaimanapun katanya, dia dan isteri, Faridah Husin, 53, reda dengan pemergian anaknya yang merupakan penuntut tahun kedua Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Dia (Nurul Natasha) tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam tempoh terdekat ini memandangkan masih kelihatan ceria dan ringan tulang membantu kami seperti biasa. Kepulangannya ke kampung kali ini berikutan cuti seminggu memandangkan dia sedang menduduki peperiksaan akhir semester yang tinggal hanya dua kertas. Nurul Natasha memang suka pulang ke kampung jika ada cuti walaupun empat hari. Jadi kali ini, dia ambil keputusan untuk pulang.

“Kebiasaannya setiap kali pulang ke Felda Selendang 1, dia keluar berjumpa dengan dua rakannya yang sudah bekerja. Mreka sudah kenal sejak  lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang dipandu Suhada dari arah Muadzam ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar treler yang datang dari arah hadapan.

“Susulan pertembungan itu, pemandu dan dua penumpang kereta meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya