Tandas KLIA tidak mesra pengguna Muslim?

Tandas KLIA tidak mesra pengguna Muslim?

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu memandang serius aduan mengenai kemudahan tandas di lapangan tersebut yang tidak mesra pengguna Muslim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Saya dan keluarga sebelum ini merupakan antara pengunjung yang kerap menggunakan kemudahan dan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor sama ada terlibat dengan urusan kerja mahupun membawa keluarga bersiar-siar semasa cuti sekolah.

Namun, ada perkara yang begitu menyusahkan saya sekeluarga berhubung kemudahan tandas yang dilihat bukan lagi mesra pengguna Muslim walaupun ramai pengunjung yang datang ke lapangan terbang berkenaan adalah dalam kalangan warga tempatan beragama Islam.

Saya difahamkan kebanyakan tandas diubah suai agar lebih menarik untuk pelancong luar tetapi ini tidak bermakna ‘tarikan’ yang diberikan perlu mengorbankan maksud ‘kemudahan’ itu sendiri khususnya rakyat yang beragama Islam.

Penggunaan paip air dalam mangkuk tandas sebenarnya bukanlah satu kemudahan tetapi kesusahan. Jika ada tandas yang menggunakan paip air sekalipun, jumlah yang ada terlalu sedikit iaitu sekitar satu atau dua sahaja, itupun sering berkunci.

Reka bentuk tandas yang mempunyai saluran paip dalam mangkuk tandas bukanlah mesra pengguna Muslim terutama sekali bagi golongan berumur 50 tahun ke atas mahupun kanak-kanak. Ia lebih kepada reka bentuk tandas di beberapa negara lain yang diakui sukar untuk digunakan oleh pelancong Muslim jika datang ke negara-negara tersebut.

Jika negara-negara luar memilih reka. bentuk tandas tersebut kerana sesuai dengan budaya penggunaan majoriti masyarakat mereka dan kita perlu menerima dan menghormati hak itu. Namun, mengapa KLIA memilih untuk tidak menggunakan reka bentuk yang sesuai dengan budaya penggunaan majoriti rakyat Malaysia (Muslim)?

Kita tidak boleh terikut-ikut budaya negara luar dalam isu mesra pengguna tandas sehingga rakyat Malaysia seperti dianaktirikan. Saya kerap terlihat dan terdengar golongan warga emas dan kanak-kanak mengeluh kerana menganggap tandas tidak mesra pengguna Muslim.

Ada yang basah pakaiannya kerana kesukaran mengemudi paip, malah ramai juga yang tidak jadi menggunakan tandas berkenaan sebaliknya ‘menahan’ terlebih dahulu serta berpendapat lebih baik menggunakan tandas di kawasan rehat & rawat (R&R).

KLIA perlu memberi perhatian serius dalam mengatasi masalah ini agar kemudahan yang diberikan kepada pengunjung adalah sesuai dengan budaya majoriti rakyat Malaysia.
Saya juga melihat banyak komen dalam media sosial tentang tandas KLIA. Ini bermakna perkara ini bukanlah isu terpencil.-UTUSAN

PENGUNJUNG TEGAR KLIA SEPANG
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya