Anda di sini

Tiga maut kemalangan

Advertisement

Dua kemalangan berasingan semalam ragut tiga nyawa, seorang cedera parah.

 Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit.
NGERI: Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit.
 Mayat Nurul Shahirah kelihatan terbujur kaku di bahagian belakang jengkaut yang diletak di tepi jalan.
MAUT: Mayat Nurul Shahirah kelihatan terbujur kaku di bahagian belakang jengkaut yang diletak di tepi jalan.

KUCHING: Tiga individu maut manakala seorang cedera parah selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Kuching-Sri Aman-Simunjan dan Jalan Kota Samarahan-Asajaya, semalam.

Seorang pemandu dan kelindan maut selepas lori kargo yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam insiden di Jalan Kuching-Sri Aman-Simunjan.

Mangsa, Wong Soong Kui meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lee Poh Ang menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, pemandu lori tangki minyak yang dikenali sebagai Azni Ali cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kargo yang dipandu Lee bersama Wong dari arah Sri Aman telah memasuki laluan bertentangan, lalu melanggar lori tangki dipandu Azni yang bergerak dari arah Kuching ke Jalan Sri Aman.

Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk hadapan sebelum dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Serian yang tiba di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik DSP Bing Kok John ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut.

Dalam insiden berasingan, seorang wanita maut dalam kemalangan selepas melanggar jengkaut di Kilometer 16 Jalan Kota Samarahan-Asajaya, semalam.

Mangsa, Nurul Shahirah Siang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik yang tiba di lokasi.

Wanita berusia 23 tahun dari Kampung Semera Ulu itu dikatakan dalam perjalanan pulang menuju ke Sadong Jaya dari tempat kerjanya di Muara Tabuan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangg mangsa terbabas lalu melanggar jengkaut yang diletakkan di tepi jalan.

Akibat perlanggaran tersebut mangsa terperosok di bawah jentera berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala selain patah tangan kiri.

Kes kini masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement