Anda di sini

Tiga maut dalam kemalangan ngeri di KM 22 Jalan Papar Lama-KK

Advertisement
 Pasukan kecemasan menjalankan operasi di lokasi kejadian.
BERTEMBUNG: Pasukan kecemasan menjalankan operasi di lokasi kejadian.

PAPAR: Tiga maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 22 Jalan Papar Lama -Kota Kinabalu, di sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit, berkata kejadian jam 12.30 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta jenis sedan dinaiki tiga individu dan sebuah lori tiga tan dinaiki dua orang termasuk seorang penumpang.

“Kejadian berlaku apabila kereta jenis sedan dipandu seorang wanita berumur 30-an bersama dua lagi penumpang masing-masing berumur 20 dan 40-an dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.

 Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas pertembungan di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu.
REMUK: Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas pertembungan di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata impak pertembungan menyebabkan kenderaan mereka remuk sama-sekali, manakala kesemua mangsa dalam kereta itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman badan.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian, manakala pemandu lori luka di bahagian kaki serta tangan dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa cedera dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement