Anda di sini

Kolam Renang Awam Miri beroperasi semula sejak 29 Nov lalu 

Advertisement
Sia (kanan) yang mewakili Ling melakukan tinjauan baru-baru ini, diberi penerangan oleh Robert mengenai Kolam Renang Awam Miri.
Sia (kanan) yang mewakili Ling melakukan tinjauan baru-baru ini, diberi penerangan oleh Robert mengenai Kolam Renang Awam Miri.

MIRI: Kolam Renang Awam Miri beroperasi semula sejak 29 November lalu selepas kerja-kerja penyelenggaran dan penelitian sepenuhnya dilakukan oleh pihak pengurusan, jelas Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling.

Menurutnya, tinjauan ke kolam renang berkenaan baru-baru ini telah diwakili Ketua Unit Tindak DAP Miri Alan Sia bagi melihat sekitar kawasan kolam renang selepas diselenggara dan diberi penerangan oleh Penyelia Kolam Renang Awam Miri Robert Chandy.

“Pihak kami mendapat maklum balas tentang aktiviti penyelenggaraan kolam renang tersebut daripada pihak Talikhidmat setelah aduan kolam terbabit tutup dibuat pada 24 November melalui e-mel.

“Sejurus selepas aduan dibuat, pihak Talikhidmat telah memberi maklum balas berhubung aduan terbabit dan memaklumkan bahawa terdapat kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan untuk tempoh beberapa minggu,” jelas Ling.

Kolam renang tersebut ditutup sebelum ini berikutan kerja-kerja membaik pulih tangki pengimbang di loji utama bermula 8 November.

“Namun dalam tempoh kerja-kerja membaik pulih berkenaan telah berlaku satu kebocoran paip di kemudahan tersebut, menyebabkan tempoh baik pulih disambung lagi untuk tempoh satu minggu bagi kerja-kerja penyelenggaraan berikutnya,” katanya. 

Jelas Talikhidmat tersebut kata Ling, kerja-kerja penyelenggaraan injap kaki dalam tangki pengimbang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya menyebabkan penggunaan kolam masih ditutup bagi memberi ruang untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang mengambil masa sehingga 28 November.

Bagaimanapun tambah Ling, kolam terbabit kini telah dibuka kepada umum selepas penelitian sepenuhnya dibuat oleh pihak pengurusan selama tiga hari sebelum tarikh pembukaan semula.

Advertisement