Anda di sini

Kolam Renang Kota Samarahan kini dibuka semula

Advertisement
Kolam Renang Kota Samarahan kini dibuka semula kepada orang ramai selesai kerja-kerja penyelenggaraan. - Gambar UKAS 
Kolam Renang Kota Samarahan kini dibuka semula kepada orang ramai selesai kerja-kerja penyelenggaraan. - Gambar UKAS 

KUCHING: Kolam Renang Kota Samarahan kini dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti tersebut lengkap sepenuhnya.

Pembukaan semula operasi Kolam Renang Kota Samarahan yang ditutup sebelum ini memberi keceriaan kepada warga Samarahan khasnya kanak-kanak, pelajar-pelajar serta ibu bapa yang sekian lama menunggu untuk beriadah bersama ahli keluar khasnya di hujung minggu dan cuti sekolah. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, pihaknya komited memastikan mana-mana fasiliti sukan di negeri ini dibaik pulih dari semasa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada orang awam untuk bersukan mahupun beriadah.

“Ini sebagai menyahut seruan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, yang mahukan agar fasiliti sukan seperti kolam renang, kompleks sukan, gelanggang-gelanggang sukan digunakan sepenuhnya dan diselenggara dengan baik untuk kegunaan masyarakat.

“Dalam erti kata lain, kita mahu merakyatkan fasiliti-fasiliti sukan yang dibina oleh Kerajaan Sarawak,” katanya semasa merasmikan pembukaan semula Kolam Renang Samarahan pada Sabtu.

Pengunjung merakamkan gambar bersama sempena pembukaan semula Kolam Renang Kota Samarahan, pada Sabtu. - Gambar UKAS 
Pengunjung merakamkan gambar bersama sempena pembukaan semula Kolam Renang Kota Samarahan, pada Sabtu. - Gambar UKAS 

Katanya, mana-mana kolam renang yang telah berusia hampir 30 tahun akan dibaik pulih dari masa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada orang awam.

Pada masa sama tambahnya, kemudahan ini dapat digunakan untuk menganjurkan aktiviti atau pertandingan di peringkat sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi untuk mewakili Sarawak kelak.

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan semasa berada di kolam renang bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. 

“Pihak SSC sentiasa mementingkan faktor keselamatan di kawasan fasiliti sukan dan ‘lifeguard’ yang bertugas bertanggungjawab memantau dan mengingatkan pengunjung agar lebih berhati,” tambah beliau lagi. 

Ketika ini, kemasukan di Kolam Renang Kota Samarahan adalah percuma hingga 30 November ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Advertisement